hmmm....

sukar menjadi diri sendiri
diri mudah terikut
tiada asas yang kukuh
perlunya sesuatu
memperkukuh yang lemah

Saturday, September 3, 2011

Mengharap Transformasi Diri

Alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Ilahi masih lagi dikurniakan Allah nikmat untuk terus bernafas di atas muka bumi Allah.
Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Sekejap rasanya masa berlalu dan tanpa sedar bulan Ramadhan telah berlalu dan telah menjengah ke bulan Syawal. Jika sewaktu kecil dahulu raya yang tak sabar dinanti, kini pemergian Ramadhan pula yang ditangisi. Kemeriahan menyambut hari raya berubah dari ingin ingin mengumpul duit raya raya ketika kecil dahulu berubah kepada meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga tercinta.

Syawal kali ini memberikan satu kelainan buat diri saya. Saya cukup tertarik dengan tagline yang digunakan oleh TV ALHIJRAH 'Ramadhan satu Perjuangan, Syawal satu Kemenangan'. Memberikan 1001 erti kepada mereka yang benar-benar memahami dan proses memahami itu bergantung kepada pengetahuan dan pemikiran seseorang dalam menilai sesuatu perkara. survival camp selama 30 hari yang telah Allah sediakan bagi hambanya berbeza dengan apa yang kem-kem yang telah dianjurkan oleh pakar-pakar motivasi yang ada pada hari ini. Proses yang telah disusun cantik selama 30 hari tanpa bayaran ini cukup bermakna bagi yang menghayatinya. Perjuangan yang ada di bulan Ramadhan ini tidak pernah berubah VMO nya sejak dari dahulu lagi, cuma yang berubah ialah perjuangan yang dilalui berbeza dengan apa yang dilalui para sahabat dahulu yang lebih hebat perjuangannya. Kesempatan berada dekat dengan jasad nabi awal tahun ini membuatkan diri berasa kecil jika nak dibandingkan dengan perjuangan Baginda dan para sahabat dahulu. Budaya ibadah bermusim yang muncul ketika bulan Ramadhan dan berakhir sejurus Ramadhan perlu difikirkan cara untuk mengekalkan momentum semangat beribadah yang setakat ini saya hanya melihatnya di Masjid Nabawi dan Masjidilharam. Momentum semangat beribadah di Tanah Haram ini perlu dibawa ke tanah tumpah kita.


Syawal satu kemenangan bagi mereka yang benar-benar mencapai Visi TAQWA yang digagaskan oleh Allah yang disampaikan melalui baginda Nabi Muhammad. Namun apa yang menyedihkan tak ramai yang mendapat mencapai visi ini termasuk diri ini. Semangat prjuangan yang dilaungkan ketika Ramadhan sepi dengan berakhirnya Ramadhan. Sambutan Syawal disambut dengan bermegah-megah dan aktiviti-aktiviti yang melalaikan. Rancangan hiburan yang berlambak di kaca TV dan ditambah pula dengan kecanggihan alam maya pada masa kini telah berjaya membantutkan sedikit sebanyak budaya ziarah yang positif yang sekian diamalkan masyarakat. Ziarah digantikan dengan ziarah online di Facebook dan menonton filem-filem di kaca TV.

Umur yang semakin meningkat memerlukan fasa perubahan dari sambutan Syawal yang dirai sebelum-sebelum ini. Proses menilai Ramadhan dan Syawal juga berubah seiring dengan perkembangan diri yang mungkin kurang berubah daripada sudut fizikalnya namun besar perubahan daripada sudut pemikiran dan rohaninya.

-RAMADHAN SATU PERJUANGAN-
-SYAWAL SATU KEMENANGAN-
_6 Syawal 1432H_ 8.58 a.m.

Friday, August 12, 2011

'MODUL"




Alhamdulillah.
Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.

Sebenarnya cukup bertuah kita dijadikan oleh Allah di atas muka bumi. Pelbagai nikmat dan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada insan yang bergelar manusia. namun dalam meniti hari-hari sebagai makhluk Allah

Teringat kisah bersama sahabat-sahabat ketika mandi di pantai baru-baru ini.
Saya rasa terpanggil untuk berkongsi apa yang telah kami lalui di pantai.
Tiada apa yang menarik pun sebenarnya. Cuma, secara tidak sengaja atau kebetulan, kami telah menjalani satu modul berkaitan masalah dan cabaran.
Apa yang biasa ialah ialah ia berlaku tanpa kami sedari dan kami hanya sedar kami telah di'programkan' oleh Allah dengan modul tersebut.

seperti remaja yang lain, keterujaan itu datang untuk melepaskan penat lelah setelah setengah hari berprogram. Pantai menjadi tempat untuk melepaskan penat lelah bekerja dan berseronok. Tanpa mengetahui apa yang ada di dalam air, kami seramai dengan penuh semangatnya terus menuju ke pantai dan masuk ke dalam air. apa yang tidak disangka ialah dasar pantai yang mempunyai banyak batu karang. Jadi, ramailah yang tercedera disebabkan tidak berhati-hati atau erti kata lain terpijak batu karang yang tajam. Ramai yang kecewa disebabkan hajat ingin ke tengah bahagian pantai tidak kesampaian disebabkan batu karang yang ada. Jadi, ramai juga yang beransur-ansur kembali tidak mahu teruskan perjalanan.
Namun apa yang membanggakan ialah, terdapat sekumpulan anak muda yang berjaya mara ke tengah pantai yang mana dasarnya lebih baik berbanding di awal tadi. Maka macam-macam skill dan gaya telah dikeluarkan yang mana membuatkan orang hanya dapat melihat dari jauh. Anak muda tersebut telah berjaya menikmati apa yang diinginkan daripada matlamat datang ke pantai walau cedera dek terkena batu karang.
Alhamdulillah, berjaya menikmati kemanisan walaupun pada awalnya terpaksa menelan kemasinan. Hanya orang-orang yang ditarbiyah dan mempunyai pemikiran yang baik sahaja dapat melepasi apa-apa yang ada di hadapan.

Anak muda ini hanya menyedari 'modul' ini setelah sampai ke tengah pantai.
Nikamat bersusah payah dapat dirasai dengan kejayaan di akhirnya.

Berdoalah untuk kita sama-sama terus istiqamah dlam perjuangan. Modul-modul yang telah dilalui hanya memberi gambaran namun realiti lebih hebat. Kefahaman akan memandu kita ke arah yang lebih baik.


_Salam Ramadhan Al-Mubarak 1432H_
1.09 p.m.
13/8/2011

Friday, July 8, 2011

Berfikir Untuk Berubah..


Berfikir untuk Berubah


Salam perjuangan..
Hari ini kita berada di suatu medan yang mana memerlukan kita terkehadapan dalam mendepani arus semasa yang sangat mencabar. Mengapa saya katakan sedemikian? Hal ini kerana reality hari Ini memerlukan kita untuk mengubah gaya berfikir yang telah biasa kita amalkan sebelum ini. Ramai orang pada hari ini yang berubah pada kulitnya saja tetapi isinya masih sama atau dalam erti kata lain meneruskan apa yang lepas tanpa mengambil reality semasa. Dan terdapat sesetengh orang menggunakan logic akal semata-mata dalam menentukan gaya berfikir mereka.


Suatu perkara yang perlu untuk kita sama-sama tanamkan dalam diri untuk mengubah gaya berfikir kita ialah rukun Iman kita. Dalam erti kata lain, kita berfikir dalam konteks akidah kita sebagai umat Islam. Percaya atau tidak, umat Islam tidak meletakkan keimanan dalam memikirkan perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian. Saya ambil satu contoh yang mudah yang berlaku dalam realiti hari ini. Sebagai contoh, seseorang yang bekerja dengan majikan yang tidak melaksanakan apa yang dikehendaki Islam. Pekerja tersebut yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang agama memberikan alas an untuk tidak berdakwah atau melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar yang ada di sekeliling dengan alasan risau dibuang kerja atau gaji dipotong. Situasi ini menunjukkan kepada kita , seolah-olah rezeki iti bukan datang daripada Allah dan dating daripada majikan tersebut. Pemikiran pekerja tersebut yang tidak meletakkan asas keimanan yang kukuh menyebabkan Islam itu tergadai dengan mudahnya.


Situasi hari ini memerlukan untuk kita berani berfikir di luar kotak. Kita tidak boleh lagi sentiasa berada di takuk yang lama dalam merencana pemikiran kita. Seolah-olah apa yang kita buat itu semacam adat turun temurun yang tetap dan tidak boleh diubah.Sebagai contoh, hari ini kita mempunyai rancangan forum yang telah lebih 20 tahun dijalankan. Apa yang kurang enak ialah perjalannya masih statik dan tiada perubahan walaupun sudah 20 tahun dijalankan tanpa ada perencah baru dalam hidangan forum tersebut. Kita perlu berubah walaupun sedikit yang kita mampu. Tidak salah jika forum yang selama ini mempunyai satu rasa diadun dengan ramuan yang segar menjadi tiga rasa tanpa meninggalkan asas dan tujuan asal ia diadakan dengan memberi nilai tambah yang sesuai dengan Islam itu sendiri.
Sejarah telah membuktikan yang kita perlu berubah untuk menggapai kejayaan. Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri berubah daripada satu strategi ke strategi yang lain dalan usaha menawan Konstantinopel berpandukan serangan umat Islam terdahulu, berdasarkan kajian dan percubaan yang berkali-kali.
Tulisan ini bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Ia sengaja dilakar setelah melihat apa yang berlaku di sekeliling . Perubahan berfikir juga perlu dibuat dalam usaha merencana agenda perubahan Islam. Bukanlah kita mengubah apa yang tersedia di dalam Islam tetapi sebenarnya kita mengimplimentasikan apa yang telah Islam didik tanpa kita sedari . Apa yang perlu kita buat ialah teruskan mengkaji apa yang ada di dalam Islam. Jangan kita biarkan hikmah yang hilang itu terlepas ke atas orang yang bukan selayaknya.

Saturday, July 2, 2011

Terfikir...




insan lemah
perlukan sesuatu di sisi
bukan mudah nak buat
disangka semudah dikata

banyak yang ada
kadang-kadang membuat keliru
memaksa memilih antara dua
satu terkorban

seronok bila bersama
kadang luka menjadi daging
tapi itu lumrah
dalam masam manis hidup

nampak macam sama
tapi berbeza
boleh disatu
untuk kepentingan semua

banyak perkara aula
terkadang keliru
tapi ia mengajar
bermakna masa hadapan

bermula lambat
terpaksa berlari
dihimpit suasana
kejayaan dilakar

cetusan kepeningan:12.53 a.m. (3/7/2011)

Saturday, June 11, 2011

10 MUWASOFAT TARBIYAH..REFLEKSI DIRI KITA 10 MUWASOFAT TARBIYAH

10 Muwasofat merupakan ciri-ciri utama pembinaan seorang kader dakwah. Dari detik pertama seseoarang itu menjejaki alam tarbiyyah, dia tidak dapat di pisahkan dengan pembinaan muwasofat-muwasofat ini sehingga dirinya terus di baluti oleh Islam yakni menjadi individu muslim yang unggul. Berikut merupakan sedikit pendetailan terhadap 10 Muwasofat.

Berkata Iman Hassan Al-Banna ketika melalui marhalah ini ‘Wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami’


1. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

* Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
* Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
* Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.



Pendetailan Ciri:

Tidak menjampi kecuali dgn al-Quran yg ma'thur

Tidak berhubung dengan Jin

Tidak meminta bantuan dari orang yg meminta bantuan jin

Tidak menenung nasib

Tidak mendekati tukang tilik

Tidak mengusap kubur

Tidak meminta bantuan dari simati

Tidak bersumpah dgn selain Allah

Tidak mempercayai adanya sial

Mengikhlaskan amal kerana Allah

Mengimani rukun-rukun Iman

Mensyukuri Allah swt ketika menerima nikmat

Sentiasa sedar Syaitan adalah musuh

Menerima sepenuhnya dari Allah dan menolak sesuatu yg di turunkan selain Allah swt


2. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

* Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
* Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
* Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).



Pendetailan Ciri:

Tidak menolak utk azan

Bersuci dgn sempurna

Sangat menghargai solat berjemaah

Sangat suka berjemaah di masjid

Memperbaiki mutu solat

Qiamullail seminggu sekali

Menunaikan zakat

Berpuasa wajib

Berpuasa sunat sehari setiap bulan

Ada niat utk menunaikan haji

Beriltizam dgn adab-adab tilawah

Khusyuk ketka membaca al-Quran

Menghafaz 1 juzuk dari al-Quran

Berdoa pada waktu-waktu yg diutamakan

Mengakhiri harinya dengan taubat dan istighfar

Menjadikan setiap amalan mempunyai niat

Menjauhi dosa-dosa besar

Sentiasa membaca zikir pagi

Sentiasa membaca zikir petang

Mengingati Allah swt pada setiap situasi

Menunaikan Nazar

Menyebarkan Salam

Menahan anggota dari perkara haram

Beri'tikaf di bulan Ramadhan jika ada peluang

Menggunakan sugi/siwak

Sentiasa bersuci (berwudhuk) sedaya mungkin

3. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

* Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.



Pendetailan Ciri:

Tidak takabbur

Mempunyai pendirian

Tidak menipu

Tidak mencaci

Tidak mengadu domba

Tidak mengumpat

Tidak berdusta

Tidak mengejek

Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan

Tidak berkawan dgn orang yg berkelakuan buruk

Mengasihi orang yg lebih muda

Menghormati orang yg lebih tua

Menunaikan janji

Menundukkan pandangan

Menjaga rahsia

Menutup dosa orang lain

Cemburu terhadap isteri

Mempunyai perasaan cemburu atas agamanya


4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

* Walaupun kaya, perlu bekerja.
* Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.
* Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.
* Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
* Menjauhi riba dalam semua lapangan.
* Menyimpan untuk waktu kesempitan.
* Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
* Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.



Pendetailan Ciri:

Mejauhi pekerjaaan yang haram

Menjauhi riba

Menjauhi judi

Menjauhi penipuan

Menunaikan zakat

Membuat simpanan walaupun sedikit

Tidak menangguh-nagguhkan tugasan yg diamanahkan

Memelihara harta awam

Memelihara harta peribadi


5. Berpengetahuan luas (Mutsaqqafal Fikri)

* Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
* Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
* Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
* Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.



Pendetailan Ciri:

Mampu membaca dan menulis dgn baik

Membaca tafsir 1 juzuk dari al-Quran

Memelihara hukum-hukum tilawah

Menghafaz setengah dari hadith 40

Menghafaz 20 hadith dari Riadhussalihin

Mengkaji marhalah Makkah dan menguasai ciri-cirinya yg penting

Mengenali sepuluh orang yg dijanjikan Syurga

Mengetahui hukum-hukum taharah/bersuci

Mengetahui hukum-hukum solat

Mengetahui hukum-hukum puasa

Membaca sesuatu diluar bidangnya. 4 jam seminggu

Memahirkan diri dengan wasilah-wasilah moden

Sentiasa peka akan serangan Zionis terhadap Islam

Mengetahui pertubuhan-pertubuhan yg menyeleweng

Mengetahui aspek keburukan dari perancang keluarga

Mendengar dengan baik

Mampu memberikan pandangan

Bersedia menerima tugas-tugas kolektif

Tidak menerima syubahat yg dilemparkan keatas kita

6. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

* Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.
* Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikanân
* Pesanan al-Banna:

Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan



Pendetailan Ciri:

Bersih tubuh badan

Bersih pakaian

Tempat tinggal yg bersih

Beriltizam dgn sunnah (adab) makan dan minum

Tidak berjaga malam berlebihan


7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

* Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
* Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
* Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.



Pendetailan Ciri:

Menjauhi perkara-perkara haram

Menjauhi tempat-tempat lalai yg diharamkan

Meninggalkan tempat-tempat maksiat


8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

* Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
* Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka “..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.”



Pendetailan Ciri:

Bangun awal

Menggunakan masa tertentu utk belajar


9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

* Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
* Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.



Pendetailan Ciri:

Penampilan yg elok

Tidak mempunyai hubungan dgn pihak yg menentang Islam


10. Berguna untuk orang lain. (Nafiâun li ghairihi)

* Da'i umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
* Da'i adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.
* Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
* Dai merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.



Pendetailan Ciri:

Menunaikan hak ibu bapa

Menyertai majlis-majlis kegembiraan

Membantu orang-orang yg memerlukan

Membimbing orang yang sesat

Berkahwin dgn pasangan yg sesuai

TANAH SUCI

Salam..
Sekadar berkongsi gambar ketika perjalanan sepanjang ke tanah suci..
InsyaALLAH akan menyusul lagi gambar...
Suatu perkara yang tidak dapat digambarkan melalui lisan dan kata-kata...




Monday, May 16, 2011

guru..



Maaf, mungkin saya sedikit terlambat untuk menulis berkaitan dengan guru kerana tarikhya sedikit terlewat tapi kali ini saya berpegang kepada pepatah inggeris 'better late than never'. Cukup banyak jasa yang telah dibuat oleh para guru yang ada di atas muka bumi ini dan apa yang pasti kedua ibu bapa ialah guru yang terawal dalam hidup.

Jika nak dibandingkan jasa guru, sudah pasti tak dapat dibayar dengan harta benda lebih-lebih lagi ibu bapa. Pengorbanan yang dibuat oleh ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak membuatkan diri kita sangat bertuah dilahirkan di atas muka bumi. Saya sendiri sukar untuk membayangkan bagaimana kesabaran ibu bapa dalam usaha untuk mendidik anak-anak termasuk diri saya yang mempunyai pelbagai karenah dan ragam. Dan apa yang pasti proses itu mungkin juga akan berlaku pada satu hari nanti. Persaoalan masa, siapa, di mana dan sebagainya kita tolak ke tepe dahulu.Hehehe...

Apabila mengenang kembali zaman persekolahan dahulu, saya kira banyak juga perkara yang saya buat menyebabkan guru terasa atau mungkin kurang gemar dengan apa yang saya lakukan. Maklumlah satiap manusia pasti tak lari daripada membuat kesilapan dan yang pasti saya agak nakal satu ketika dahulu dan hari ini proses transformasi diri sedang berlaku.Bermula dari sekolah tadika hinggalah ke sekolah menengah, sudah pasti setiap fasa tersebut mempunyai nilai dan sejarah tersendiri bagi setiap fasa.

Terlibat dengan sambutan Hari Guru juga antara pengalaman saya dalam usaha untuk menghargai jasa guru-guru.Teringat ketika bersama sahabat pimpinan Badan Ketua Pelajar di sekolah satu ketika dahulu, menjadi ajk pelaksana sambutan Hari Guru. Kadang-kadang sanggup tak tidur malam untuk menjayakan Hari Guru dan memastikannya sebagai sambutan yang terbaik. Cukup menyeronokkan walaupun letih apabila apa yang dibuat mebuatkan guru-guru berasa terhibur. Apa yang lebih menarik ialah kami boleh buat duit masa Hari Guru dengan perkhidmatan request hadiah kepada pelajar untuk guru-guru. Beribu juga duit yang masuk. Tapi itu pengalaman yang kini tinggal kenangan yang akan sentiasa kekal di memori. Kalau nak diceritakan apa yang pernah dibuat pasti banyak lagi benda yang hendak ditulis. Mungkin cukup sekadar mencoret satu dalam beribu yang ada.

Namun apa yang penting, kita sentiasa ingat akan guru kita dan sentiasa doakan mereka . Kita kena jaga adab dengan guru kita kerana tanpa mereka belum tentu ilmu akan sampai kepada kita dan menghormati mereka walaupun mereka itu seorang tukang sapu sampah. Ikutilah apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dalam sirah yang mana menghormati seorang Yahudi yang telah mengajarkan baginda satu ilmu. Sentiasa muhasabah diri kita, sejauh mana hubungan kita dengan guru dan beradab dengan guru
kita seperti mana yang telah dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam kitab Adab Hamalatul Quran. Cuba sedaya upaya untuk tunaikan hak sebagai pelajar kepada guru. Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dan kejayaan di dunia da akhirat.

Akhir kalam...
"SELAMAT HARI GURU"

Tuesday, May 3, 2011

wujudkah cinta

Perjalanan ke tanah suci tidak semudah yang disangka. Banyak cabaran dan ujian yang ditempuhi tapi semua itulah yang menjadi perencah dalam perjalanan, kalau tiada cabaran mak tiadalah nikmat sesuatu perkara yang dilalui.

Berada di bumi haramain banyak mengajar diri ini s.ebenarnya.Kadang-kadang rasa macam mimpi bila menjejakkan kaki di tanah suci. Ya la, perkara yang diidamkan sejak dari dulu akhirnya menjadi kenyataan, siapa yang tak gembira.Namun antara perkara yang paling mengujakan ialah dapat berada dekat dengan Nabi Muhammad. Suatu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Namun, saya menyedari satu perkara yang berlaku dalam kalangan jemaah yang berada di bumi Madinah. Apakah perkara tersebut?
kebanyakan daripada jemaah tidak merasai dan menghayati kecintaan mereka terhadap nabi Muhammad bila berada di sana. Ya, saya sendiri turut mengalami perkara yang sama.

Madinah merupakan satu tempat yang cukup mulia yang mana di situlah tertegaknya negara Islam yang pertama. Namun hari ini, orang pergi ke sana hanya sekadar ziarah atau lebih enak untuk dikatakan syurga beli belah tanpa mengambil ibrah daripada sejarah yang pernah berlaku. Madinah memang kaya dengan nilai sejarah Islam, dan kita dapat melihat sendiri bumi yang pernah dicatat dalam sejarah kegemilangan Islam. Salain itu, Madinah juga turut terkenal dengan 'godaan' untuk membeli-belah. Mana tidaknya, keluar saja hotel ada kedai. keluar masjid je ada kedai. tu tak dicampur lagi dengan orang-orang yang berniaga secara 'haram' di sekitar Masjid Nabawi. Ditambah pula dengan pusat beli belah dan nasi arab yang pasti menggiurkan sesiapa sahaja yang berada di sini. Kalau bawak duit seribu tu, memang tak cukup la untuk berbelanja. Itu antara sebahagian godaan yang ada di Bumi Madinah.

Bagi yang bersolat di Masji Nabawi, pastinya berpeluang untuk berada dekat dengan maqam Nabi dan boleh beribadah di Raudah sekiranya berpeluang. Apa yang ingin saya timbulkan ialah, saya tak dapat menghayati apa yang saya lakukan di masjid Nabawi. Sekadar pergi ke masjid untuk bersolat dan seterusnya balik ke hotel @ pergi membeli-belah. Namun, satu hari saya 'disedarkan' oleh seorang jemaah umrah ketika sedang makan. Dia mempersoalkan situasi yang berlaku kepada orang yang berada dekat maqam Nabi tapi tak pernah pun menangis.
Ya, itu memang situasi yang berlaku sedangkan apabila kita menziarahi kubur orang yang kita sayang, sudah pasti kita akan menangis, apatah lagi Nabi Muhammad. Sepatutnya kita lebih lagi. Itu antara perkara yang beliau persoalkan. Saya mula tersentak kerana perkara tersebut berlaku kepada saya.
Ya, semua itu memakan masa melahirkan rasa cinta kepada nabi.Alhamdulillah, saya dapat disedarkan daripada terus terlalai dengan godaan yang ada di Madinah. Walau di mana kita berada, ujian tetap ada cuma berbeza.Tapi, macam mana nak wujudkan cinta tersebut?

Sama-sama kita cari

Monday, April 25, 2011

Sebelum Ke Tanah Suci..

Alhamdulillah masih diizinkan oleh Maha Pencipta untuk terus menghirup udara segar yang diberikan tanpa sebarang bayaran. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w kerana atas jasa baginda yang memberikan diri ini terus berada dalam nikmat Islam.

Sudah lama tidak menulis terasa sedikit kaku untuk meneruskan tulisan kali ini. Mujurlah ada adik-beradik usrah yang prihatin memaksa saya untuk meng’update’ blog yang lama terbengkalai sejak habis peperiksaan pada bulan 3. Saya berasa terpanggil untuk berkongsi cerita saat-saat bahagi terpilih menjadi tetamu Allah.

Perjalanan menuju ke Jeddah pada 18 Mac 2011 menaiki Pesawat Garuda Indonesia. Hari untuk berangkat semakin dekat tetapi saya masih tidak memunculkan diri di rumah untuk membuat persiapan sebelum berangkat. Akhirnya dua hari sebelum berangkat, saya muncul di rumah namun sayangnya tiada seorang pun yang menyambut. Padan muka diri sendiri kena tinggal kat rumah seorang diri. Masa yang berbaki di rumah digunakan sebaiknya untuk membuat persediaan sebelum berangkat.

Masa yang ditunggu telah tiba. Pada 18 Mac saya bertolak ke KLIA pada jam 3 pagi. Sahabat- sahabat yang lain sudah ramai yang tiba lebih awal. Walaupun penerbangan dijadualkan pada jam 7 pagi, tetapi gagahka diri juga untuk bersedia lebih awal. Maklum la, kali pertama naik ‘flight’. Pada masa itu la saya berbangga menjadi rakyat Malaysia disebabkan kecanggihan dan pengurusan KLIA yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia dan hari ini saya sendiri merasainya. Selesai semua urusan, kami dibenarkan untuk menaiki pesawat. Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur ke Jakarta yang mengambil masa kira-kira sejam setengah. Kami perlu transit di Jakarta dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta. Apa yang kurang enak apabila menaiki pesawat ialah melihat pramugarinya yang saya kira pakaiannya kurang cantik dipandang lebih-lebih lagi buat orang yang ingin mengerjakan ibadah di tanah suci. Namun saya nampak itu sebagai satu peluang dakwah untuk diterokai sebenarnya. Diberikan makanan dan disediakan alat hiburan di dalam pesawat menyebabkan perjalanan yang dilalui dirasakan berlalu dengan sekejap.

Seterusnya, kami tiba di Jakarta untuk tukar pesawat ke Jeddah. Suasana di sini cukup berbeza dengan KLIA yang mana KLIA boleh dikatakan lebih canggih. Betul apa yang dikatakan sesetengah orang, penantian satu penyeksaan. Kami terpaksa menunggu di Jakarta beberapa jam untuk menaiki pesawat seterusnya. Setelah lama menunggu, orang yang menaiki pesawat yang sama dengan kami semakin ramai tiba. Kebanyak mereka memakai baju batik mengikut ‘team’ masing-masing. Rupa-rupanya kami pergi Jeddah sekali dengan bapak-bapak dan ibu-ibu dari Indonesia. Mereka memakai baju yang seragam mengikut travel yang mereka pilih. Agak sesak keadaan di ruang menunggu dengan jemaah dari Indonesia. Perjalan kami diuji apabila kakitangan di situ memberitahu yang penerbangan akan lewat sedikit kerana ada masalah. Belum lagi sampai di tanah suci tetapi Allah tetap menguji hambanya. Setelah lama menunggu, akhirnya kami dibenarkan untuk menaiki pesawat yang lebih besar berbanding yang pertama tadi.

Friday, February 25, 2011

Periksa Oh Periksa

Berbicara mengenai satu perkara yang membawa seribu satu makna kepada orang yang bergelar pelajar membuatkan saya terdetik untuk mengulas tentangnya. Saya menulis dalam ‘mood’ peperiksaan yang melanda warga Darul Quran. Sengaja saya mencoretnya untuk meluahkan apa yang bermain di benak fikiran.

Sesetengah pelajar mungkin fobia apabila mendengar mengenai peperiksaan. Hal ini berkemungkinan berlaku disebabkan tiada persediaan untuk menghadapinya. Namun lain pula yang berlaku kepada sesetengah orang yang mana menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur apa yang ada di dada.

Namun, apa yang menarik minat saya mengenai peperiksaan ialah terjadinya satu gelombang kesedaran kepada orang untuk mengurangkan dosa. Perasaan ini timbul bukanlah atas tujuan yang betul, tetapi hal ini lahir disebabkan risau jika banyak dosa, susah nak jawab periksa dan kesannya keputusan peperiksaan yang diumumkan tidak seperti yang diharapkan. Maka di musim peperiksaan ini saya dapat melihat banyak perubahan mendadak yang berlaku dalam kalangan pelajar.

Mungkin salah satu contoh yang boleh kita ambil ialah orang yang tak pernah sembahyang jemaah di masjid dengan secara tetibanya memunculkan dirinya di masjid dengan beralasankan peperiksaan semakin hampir. Katanya jikalau nak Berjaya mestilah memohon kepada Allah kerana setiap sesuatu itu datang dari Allah. Jikalau disemak semula kamus hidupnya sebelum musim peperiksaan, agak susah untuk melihat dia berada bersama-sama di masjid. Mungkin ini salah satu contoh yang saya biasa lihat berlaku di persekitaran saya.
Apa yang tidak boleh disangkal ialah ramai yang menjadikan peperiksaan sebagai alasan untuk menjadi ‘abid kontrak’. Selepas habis musim peperiksaan, maka mereka akan kembali kepada tabiat asal mereka. Dan pada ketika itu masjid atau surau akan kembali lengang disebabkan peperiksaan sudah berakhir.

Alangkah baiknya jika perubahan yang berlaku yang sebelum ini diniatkan kerana peperiksaan itu diubah kepada niat kerana Allah dan perubahan yang positif berkekalan atau bertambah baik sepanjang hidup kita.
Mari kita sama-sama muhasabah diri

Wednesday, February 9, 2011

Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya
Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup,
melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

hidup sebelum mati
setiap orang pasti merasai
'menngenang kembali kekasih Allah'
Salam Maulidur Rasul

Tuesday, February 1, 2011

membaca

tajuk yang mudah...
dan itulah tujuan saya menulis iaitu untuk dibaca oleh orang lain (itu pun kalau ada yang sudi)

membaca telah menjadi satu budaya yang kurang popular pada masa kini. Walaupun kajian mendapati ada peningkatan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia setahun dua ini, namun ia masih rendah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju yang ada di dunia ini.

Umum mengetahui tentang ayat Al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad. Ayat pertama Surah Al-Alaq ini memerintahkan kita untuk membaca. Mengapa kita perlu membaca? Ketahuilah bahawa membaca ini salah satu daripada kunci ilmu. Sebagai umat Islam, sepatutnya kitalah yang menyahut seruan Allah kepada hambanya untuk membaca. Namun hari ini apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang bukan Islam terkehadapan dalam menyahut seruan ini.

Mahasiswa sendiri tidak terlepas dalam menghadapi masalah ini. Kebanyakan mahasiswa hanya menumpukan penmbacaan hanya kepada subjek yang diambil untuk peperiksaan sahaja. Maka pada hari ini kita dapat melihat situasi yang mana mahasiswa hanya menumpukan pada akademik tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekitar mereka.
Jika kita melihat sejarah ketamadunan Islam, Umat Islam dihormati kerana ilmu yang mereka ada. Keika itu ilmu berkembang pesat dan ramai ulama yang telah berjaya dilahirkan. Hal ini menunjukkan satu ketika dahulu umat Islam mempunyai kesedaran yang cukup tinggi untuk menguasai ilmu. Imam Syafie sendiri sebelum hendak berguru, bukan sahaja telah membaca kitab A-Muwatta' bahkan telah menghafalnya sebelum berguru dengan Imam Malik.

Umat Islam masa kini ketandusan orang yang dapat kembali memartabatkan Islam. Kita kekurangan orang. Tidak cukup dengan semangat ketika demonstrasi tetapi lemah dalam pembudayaan ilmu melalui pembacaan itu sendiri.Kita perlu berubah untuk membuat satu anjakan baru untuk umat Islam. Teringat kata-kata Dr Aidh Al-Qarni penulis buku La Tahzan yang juga merupakan seorang ulama. Beliau mengatakan apbila membaca, sejarah-sejarah dilipat dan terbentang di hadapan beliau. Seolah-olah dapat menyaksikan sendiri sejarah itu berlaku di depan mata.
Hal ini telah menunjukkan kesan yang kita akan dapat apabila membaca itu dijadikan amlan.

Kita perlu berubah ...
Pesanan buat diri sendiri..
Suasana tidak membentuk kita, tetapi kita membentuk suasana..

Friday, January 28, 2011

Luahkan pada tempatnya

“Apa sangat kerja kau, aku tengok kau rileks je”

“Kau tahu bagi arahan je, bukan kau yang buat”

Ini mungkin sebahagian daripada apa yang pernah diluahkan dalam hati para amilin kepada pimpinan mereka. Menjadi orang bawahan bukanlah sesuatu yang mudah. Saya juga orang yang bekerja di bawah pimpinan. Apabila kita bekerja di dalam satu organisasi, banyak yang perlu kita pelajari sebenarnya walaupun sebagai orang bawahan.

Saya teringat kepada kepada satu diskusi yang pernah diadakan mengenai cara menegur pimpinan. Salah atu perkara yang dibincangkan ialah ‘bughah’ atau pemberontakan. Luahan hati, merupakan salah satu daripada salah satu pemberontakan diri. Namun di peringkat yang lebih tinggi, pemberontakan dilakukan dengan lebih sistematik dan terancang.

Melihat kepada sejarah kejatuhan khilafah Islamiyah, pemberontakan merupakan salah satu sebab yang utama. Hasil pengaruh pihak orientalis, mereka cuba meracuni pemikiran umat Islam untuk memberontak terhadap khalifah. Akhirnya kita melihat umat Islam dibahagikan mengikut Negara-negara dan ianya melahirkan semangat nasionalisme melebihi semangat Islam itu sendiri.

Kebanyakan dalam kalangan kita, masih kurang adab ketika berada dalam organisasi. Ya, kita semua berniat baik untuk memperbaiki organisasi tetapi cara yang kita gunakan sering tersasar. Disebabkan itu diri kita perlu belajar. Jangan kita merasakan diri kita terlalu sempurna untuk tidak mahu ditegur.

{Kita tetap insan biasa walau apa jawatan kita}