hmmm....

sukar menjadi diri sendiri
diri mudah terikut
tiada asas yang kukuh
perlunya sesuatu
memperkukuh yang lemah

Sunday, March 28, 2010

Lemahnya Diri..

Alhamdulillah, tangan saya berjaya untuk mengusik laman blog ini untuk kesekian kalinya. Walaupun diri ini masih dalam keadaan serba kekurangan, tapi cuba sedaya upaya untuk berkongsi sesuatu.

Syukur ke hadrat Allah baru-baru ini saya berjaya untuk sampai ke satu tempat yang mana cukup bermakna dalam hidup saya tak lain tak bukan bumi bertuah SMKA TAHAP. Satu tempat yang telah mengubah diri saya sepanjang 5 tahun berada di situ. kalau nak dicerita tentang bumi bertuah ni, memang banyak la. mungkin di kesempatan lain saya akan bercerita. Saya selamat selamat di sana sebelum maghrib yang mana pelbagai cabaran telah ditempuhi untuk sampai yang tak perlu diceritakan. Aktiviti di surau pada malam tersebut memang mengenangkan saya ketika berada di alam persekolahan. Rasa rindu untuk kembali ke zaman tersebut membuak-buak. Tapi apakan daya zaman tersebut telah berlalu.


HATI DAN NAFSU

Pada malam tersebut, seperti yang dijangka kuliah Ustaz Hairul Amizam b Mohd Hamka (ingat lagi nama penuh walaupun hampir 2 tahun dah tinggal sekolah) berlangsung. Seorang ustaz yang tidak mengenal erti putus asa dalam mendidik para pelajar. Apa yang menarik perhatian saya ialah isi kuliah yang beliau sampaikan. Yang cukup saya terkesan ialah kata ustaz berkaitan nafsu. Susahnya kita ni nak mendidik nafsu kita kerana sejak lahir lagi kita mempunyai nafsu yang mana perlu dipenuhi. Dan untuk menjaga diri ini daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, perlunya kita untuk melatih nafsu kita dengan melakukan zikir sebagai satu cara untuk melatih nafsu kita. Kata-kata ustaz pada malam tersebut membuat saya merasakan diri ini cukup lemah dalam usaha mengawal nafsu. Seringkali saya kalah bila berlawan dengan nafsu. Terima kasih ustaz kerana mengetuk pintu hati saya.

"bagus jugak aku ni rupanya, aku seorang je yang buat qiam malam ni" monolog hati seorang pimpinan pelajar selepas melakukan melakukan ibadat malam di suarau sekolahnya.

saya rasa ini bicara hati yang mungkin pernah berada dalam hati kita bila melakukan kebaikan. Mudahnya syaitan untuk mengalahkan kita walaupun dalam keadaan kita beribadah kepada Allah. Perlunya kita sedar dan berubah.
Ada juga perkara yang kita lakukan di hadapan orang, kita lakukan dengan bersungguh-sungguh dan bila berseorangan kita lakukan dengan sambil lewa. Contohnya , bila kita bersembahyang di hadapan orang, bacaan kita bukan main sedapnya( kalah johan tilawah antarabangsa). Tapi, bila sembahyang sorang-sorang, bacaan kita bukan main laju sampai apa yang dibaca pun tak faham. Itulah realiti yang berlaku dalam kehidupan kita seharian.

FIKIR

Masih banyak kelemahan yang ada dalam diri ini. Perlu banyak berfikir dan bermuhasabah untuk meningkatkan diri. Fikirkan apakah yang kita buat selama ini kerana Allah atau kita masih lagi dikuasai nafsu dan syaitan... Renungan untuk diri sendiri..

Monday, March 22, 2010

Tujuan


Salam..
Saya rasa inilah kali pertama saya betul-betul menulis dalam blog walaupun usia blog ni dah mencapai umur setahun. Saya pun tak tahu kenapa saya membiarkan blog ini terbengkalai selama hampir setahun.. mungkin alasan yang paling kukuh yang boleh saya bagi ialah ketiadaan peralatan untuk menghadirkan diri ke alam maya ini.. Tapi itulah manusia yang mempunyai 1001 alasan untuk tidak menyalahkan diri sendiri.

Mungkin ada orang yang berkata.. 'baik tak payah ada blog kalau setahun sekali baru update', ' buat menyemak je blog die ni'.. dan mungkin juga ada yang berkata ' ada blog budak ni rupenyer, tak pernah pun aku tahu'..

Saya memohon maaf kepada yang telah mengetahui tentang kewujudan blog ini tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat. Selepas ini saya akan cuba meng'update' blog ini dalam usaha untuk berkongsi sesuatu yang mana tidak boleh dizahirkan melalui perbuatan dan saya akan cuba berkongsi melalui penulisan blog ini. Bukanlah niat saya untuk berlagak pandai tetapi saya cuba untuk memeriahkan lagi alam maya di samping menggunakan medan ini sebagai wasilah untuk berdakwah.

Saya mengharapkan tunjuk ajar daripada orang yang lebih senior daripada saya untuk membimbing saya ke jalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan apa yang saya buat tidak tersasar daripada kebenaran.
semoga saya istiqamah dalam perjuangan.