hmmm....

sukar menjadi diri sendiri
diri mudah terikut
tiada asas yang kukuh
perlunya sesuatu
memperkukuh yang lemah

Friday, April 23, 2010

Hati Seorang Mukmin

Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia.Kerana itu ia diberi
keupayaan untuk merasa senang dan susah.Ia sangat sensitif kepada apa yang
berlaku,yang didengar,dilihat dan dirasa.Dari sanalah ia menentukan sikap
manusia sama ada positif atau negatif.Memang hakikat penciptaan hati oleh Allah
s.w.t adalah sesuatu yang Maha ajaib.Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung
dan ruangan gerakannya tiada had.Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad lahir
manusia itu mati.Roh berpindah ke alam Barzakh dan seterusnya ke alam
akhirat.Bagi orang mukmin yang suci murni hatinya,dia akan dapat melihat Allah
di akhirat kelak.

Itulah hati manusia.Ia juga disebut roh.Tempatnya ialah di dalam hati
jasmani.Hati rohaniah ini umpama burung yang bersangkar di dalam hati
jasmani.Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia boleh
menerima perintah dan larangan dari Allah, ianya disebut Ruhul Amri.Manakala
hati haiwan tidak bersifat demikian,ianya disebut Ruhul Hayah.Rasulullah s.a.w
telah bersabda :

"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging.Jika baik daging
itu,baiklah manusia.Jika jahat daging itu,maka jahatlah manusia.
Ketahuilah,itulah hati."

Hati boleh baik dan boleh jahat.Rasa senang apabila ia dipuji.Rasa
menderita apabila dikeji.Rasa riyak dan megah apabila mendapat kelebihan atau
kejayaan.Rasa ujub (hairan diri) apabila mempunyai kemampuan.Rasa terhina
apabila mempunyai kelemahan.Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada
ilmu atau ada kekayaan atau ada kekuatan. Rasa marah apabila dikata dan
dihina.Rasa dengki apabila melihat orang lain lebih.

Rasa dendam apabila orang lain menganiayanya.Rasa keluh kesah apabila
mendapat susah.Rasa terhutang budi dan terima kasih apabila orang menolong
kita.Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan.Rasa jijik
apabila berhadapan dengan benda yang kotor.

Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai rasa dengan
sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luar.Ada rasa yang jahat dan
ada rasa yang baik. Perasaan itu kemudiannya akan mempengaruhi sikap lahir
manusia.Kalau rasa itu baik,baiklah tindakan manusia.Dan kalau rasa itu
jahat,maka jahatlah tindakan manusia.Dengan kebolehan dan kuasa yang
penting,hati seolah-olah raja yang bertahta di dalam diri manusia.Dialah yang
menentukan baik buruknya manusia.Akal adalah penasihatnya.Anggota-anggota lahir
adalah rakyatnya yang taat pada arahannya.Kita mesti memahami dan beri perhatian
penting di dalam persoalan ini,kerana baik jahatnya kita,bergantung pada hati
serta pengurusan kita di dalam hal ini.Sesiapa mengabaikan urusan ini,ertinya
membiarkan dirinya berjalan dalam gelap.Nasibnya belum tentu selamat dunia dan
akhirat.

Hati boleh dididik.Lihat apa Firman Allah Ta'ala tentang hati :

"Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah sesiapa yang
mengotorinya."
(As Syams 9)

"Pada hari itu,tidak berguna harta dan anak pinak.Kecuali mereka yang mengadap
Allah membawa hati yang selamat." ( As Syuara : 88-89 )

Allah memerintahkan kita mendidik hati yang selamat.Yakni hati yang
bersih daripada sifat-sifat yang jahat (mazmumah).Cara-cara pendidikan hati
terdapat di dalam ilmu Tasawwuf.Hati yang masih kotor perlu dibersihkan agar Nur
ilmu dan hikmah dapat masuk ke dalam hati.Dengan itu,hati akan sentiasa merasa
kehebatan dan kebesaran Allah dan seolah-olah melihat Allah.Inilah yang
diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w apabila ditanya oleh Jibril a.s mengenai
Ihsan,

"Engkau menyembah Allah,seolah-olah engkau melihatnya.".

Hati yang sebegini dinamakan Hati Mukmin.Selain daripada itu,antara sifat hati
mukmin ialah :

a) Terlalu sensitif dengan Tuhan.Hatinya akan gerun dan gentar apabila
mengingati Tuhan. Terasa betapa besarnya kekuasaan Allah,yang boleh buat apa
sahaja terhadap dirinya.Betapa lemahnya dia kerana tiada upaya menolak sebarang
takdir Allah.Lihat Firman Allah di dalam surah Al Mulk ayat 16 dan 17 :

"Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit.Bahawa Dia
akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu sehingga dengan tiba-tiba bumi itu
bergoncang?" "Atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa)
dilangit.Bahawa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu.Maka kelak kamu akan
mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatanKu ?"

Begitu juga di dalam surah Al Anfal ayat 2 :

"Sesungguhnya orang yang beriman itu apabila disebut kepada meraka nama
Allah,gementarlah hati mereka,dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayatNya,bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka
bertawakkal."

b) Orang mukmin apabila mendapat nikmat,kejayaan dan kelapangan hidup,hatinya
terasa bersyukur dengan Allah,kerana dirasakan semua itu adalah pemberian
daripada Allah.Hatinya akan terasa berhutang budi dan malu dengan Allah,kerana
Allah hadiahkan nikmat tersebut walaupun dirinya dirasai penuh dengan dosa dan
lalai kepada Allah.Bimbang sekali hatinya jikalau nikmat itu tidak digunakan
dengan jalan yang sepatutnya.

c) Jika terbuat dosa,sekalipun dosa yang kecil,apalagi dosa yang besar,hati
mukmin akan gelisah,takut dan hilang ketenangan.Rasa menyesalnya buka
kepalang.Sebab dia rasa bersalah terhadap Tuhannya. Takut-takut Allah akan
menghukumnya.Sedaya upaya dia mahu dosanya diampunkan,sebab dia tahu, dosa yang
tidak diampunkan di dunia,nerakalah padahnya.

d) Hati Mukmin sentiasa terasa diawasi oleh Allah.Allah melihat dan mendengar
segala-galanya.Ertinya dia benar-benar berada di dalam kekuasaan Allah.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Tidaklah (susah) menciptakan dan membangkitkan kamu (dari alam kubur )
melainkan hanya seperti (mencipta dan membangkitkan) satu jiwa
sahaja.Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat ." (LuQman: 28)

e) Hati Mukmin sangat Tawadhuk pada Allah.Yakni sangat merendah diri.Kerana dia
sedar dia hanya ciptaan Allah.Asalnya dari air mani yang hina.Terlalu lemah dan
tiada kuasa apa-apa melainkan dengan kehendak Allah.Setiap detik dia memerlukan
bantuan Allah.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur
yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan),kerana itu kami
jadikan dia mendengar dan melihat."
(Al Insan: 2)

f) Kalau diuji oleh Allah,hati mukmin sabar dan reda.Bahkan tenang dengan
ujian.Dia bersangka baik dengan Allah bahawa ujian itu adalah untuk menghapuskan
dosa-dosanya atau peningkatan darjatnya di akhirat kelak.Tidaklah orang mukmin
itu mengeluh dan mengadu-ngadu serta marah terhadap ujian yang datang samada
difitnah,ditohmah,disakiti,ditimpa bencana alam atau apa pun.Ia sedar semuanya
itu dari Allah,dan Allah bermaksud baik dengan ujian itu. Maka dia hanya mengadu
dengan Allah.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Apakah manusia mengira ia akan dibiarkan saja mengatakan kamu telah beriman
sedang mereka belum diuji." (Al Ankabut: 2)

g) Hati Mukmin sentiasa terkenangjan Allah.Maklumlah setiap detik menerima
pemberian nikmat dari Allah.Ilmu,harta,anak,isteri,udara,bumi.Matahari,bulan dan
segala-galanya semua dari Allah.Ia lemas dengan nikmat yang tidak dapat
dihitung.Cinta dan rindunya tertumpah pada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang.

Allah Ta'ala menceritakan tentang hati orang-orang Mukmin ini di dalam
firman-Nya yang bermaksud:

"Iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah sewaktu berdiri,duduk dan
berbaring." (Ali Imran: 191)

Itulah di antara ciri-ciri Hati Mukmin.Dan itulah yang mencetuskan
akhlak-akhlak yang baik dengan Allah dan sesama manusia.Hati seumpama inilah
yang akan membawa keikhlasan,kejujuran,kasih sayang, harmoni dan akan membuahkan
keamanan,kedamaian dan kebahagiaan kepada masyarakat.Hati yang sempurna inilah
yang harus kita berjuang untuk mendapatkannya.Agar kita selamat di dunia dan
akhirat. Moga-moga Allah memberikan hidayah dan taufik kepada kita semua.

wassalam

Wallahu A'lam...

*** PENYAKIT-PENYAKIT HATI ***

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan hubungan sesama manusia.Ini boleh
dilihat dalam ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis yang menyeru manusia agar
berlaku sopan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Di samping itu terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang melarang umat manusia
daripada mencela mengeji serta menyakiti sesama mereka,begitu juga dengan sabda
sabda Rasulullah SAW.Ini bertujuan untuk memelihara kesejahteraan hidup umat
manusia seluruhnya.

Di antara sifat yang perlu dimiliki oleh setiap orang yang beriman ialah
mempunyai sifat suka mengkaji dan meneliti segala keaiban sendiri dan juga
sifat-sifat keji yang mungkin bertapak di jiwa mereka dan sekaligus berusaha
pula secara bersungguh mencari ubat dan penawar segala penyakit yang dihidapinya
setelah dikenalpasti.Ini kerana tidak ada orang lain yang lebih arif daripada
yang empunya diri tentang apa yang dihidapinya.

Tetapi untuk mengubati penyakit penyakit hati seperti hasad
dengki,riak,takabbur, bakhil, suka menceritakan keburukan orang lain bukanlah
suatu perkara yang mudah.Banyak halangan perlu ditempuhi,banyak onak dan duri
harus dilalui.

Sememangnya,sifat-sifat tersebut amat berbahaya kepada masyarakat jika ia
berjaya bertapak disudut hati sesetengah anggota masyarakat.Biasanya,sifat-sifat
seperti ini akan sentiasa dihiasi dan diperindahkan oleh syaitan yang berupa jin
dan yang suka melihat manusia hidup dalam kucar-kacir,tidak menentu serta
bermusuhan sepanjang masa.

Bagi jin dan syaitan,merosakkan kehidupan manusia,menyesat serta mengheret
mereka ke arah kemurkaan Allah adalah tugas rasmi dan sumpah mereka di hadapan
Allah,(sejak mereka dihalau dari syurga kerana keengganan mereka sujud kepada
Adam a.s. apabila diperintahkan oleh Allah).Semenjak itu,mereka bertekad untuk
tidak membiarkan anak-anak Adam hidup dalam keadaan aman,bahkan mereka akan
melakukan apa sahaja bagi menyesatkan umat manusia serta memporakperandakan
kehidupan mereka.

Segala usaha yang dilakukan oleh makhluk Allah yang halus ini ternyata dapat
menggugat kestabilan dan keharmonian hidup manusia sejagat.Ini diperkuatkan lagi
dengan wujudnya para pembantu serta kuncu-kuncu mereka yang terdiri daripada
kalangan manusia yang bertopengkan syaitan. Golongan ini turut bekerja keras
bagi memenuhi matlamat 'boss' mereka.

Namun begitu,kemungkinan terdapat matlamat atau tujuan yang berbeda di antara
kedua-dua golongan syaitan ini.Bagi syaitan dan iblis,matlamat mereka adalah
untuk menyesatkan umat manusia.Bagi syaitan yang terdiri daripada kalangan
manusia pula,mereka bukan sahaja ingin melihat manusia jauh daripada ajaran
Islam,bahkan mereka mempunyai matlamat-matlamat sampingan yang lain seperti
mengumpulkan harta benda,kekuasaan,pengaruh dan berusaha mencapainya dengan
pelbagai cara.

Untuk mencapai matlamat tersebut,manusia yang hatinya mempunyai penyakit ini,
sanggup melakukan apa sahaja walaupun dengan menindas orang lain.Mereka sanggup
membuat fitnah,mengeji serta melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah
orang lain semata-mata untuk mencapai matlamat mereka.

Demikianlah betapa buruknya sifat manusia apabila mereka telah dikuasai dengan
penyakit-penyakit hati ini.Mereka tidak lagi dapat membezakan antara kawan dan
lawan, antara yang baik dengan yang buruk dan yang hak dengan yang batil.

Selagi manusia yang dijangkiti dengan penyakit-penyakit hati ini tidak dapat
mengenal pasti penyakit dan wabak yang mereka hidapi, selagi itulah penyakit
tersebut akan terus mengheret mereka ke kancah perkara-perkara yang buruk dan
tidak berperi kemanusiaan.

Mengumpat,mengeji serta melaga-lagakan sesama manusia telah menjadi suatu
perkara yang lumrah dalam kehidupan manusia hari ini.Apabila ada orang yang cuba
memberi nasihat terhadap perkara yang dilakukan,dengan selamba mereka menjawab;
'Ala! Memang betul dia buat macam tu," tanpa menyedari bahawa apa yang
diperkatakan itu sebenarnya sudah dikira sebagai ghibah atau mengumpat. Perkara
ini telah dijelaskan oleh Rasulullah tatkala seorang sahabat bertanya,

"Wahai Rasulullah,apakah itu ghibah?"

Lalu jawab Baginda saw,

"Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu!'

Kemudian Baginda ditanya lagi,

"Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar?"

Jawab Baginda saw,

"Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar,maka engkau sebenarnya telah
mengumpatnya tetapi jika sekiranya perkara itu dusta,maka engkau sebenarnya
telah berbohong."

Di dalam hadis yang lain Baginda bersabda,

"Tidak akan masuk syurga mereka yang suka mengumpat."

Demikianlah besarnya celaan terhadap mereka yang suka melakukan perkara yang
keji ini. Begitu juga dengan penyakit-penyakit lain yang timbul dari hati yang
sakit seperti hasad dengki, riak, sombong dan sebagainya,yang tidak akan membawa
sebarang manfaat kepada mereka.

Sebaliknya,ini semua akan menghancurkan hidup mereka di dunia dan akhirat.Di
dunia,mereka akan dikeji dan dihina oleh manusia,manakala di akhirat pula,azab
dan sengsara pasti menanti mereka. Inilah janji Allah, dan Allah sama sekali
tidak akan memungkiri janjinya.

Justeru itu,sebagai seorang muslim,kita seharusnya berhati-hati agar penyakit
yang amat merbahaya ini tidak menjangkiti kita.Seandainya penyakit ini telah
dihidapi,dan kita telah mengesannya maka kembalilah kepada Allah dan mintalah
keampunan-Nya sebelum terlambat.

Semoga Allah mengampunkan kita semua,memelihara dan memberi kekuatan kepada
kita untuk mengawal diri daripada bencana penyakit-penyakit ini.

Wallahu A'lam...

No comments:

Post a Comment