hmmm....

sukar menjadi diri sendiri
diri mudah terikut
tiada asas yang kukuh
perlunya sesuatu
memperkukuh yang lemah

Friday, February 25, 2011

Periksa Oh Periksa

Berbicara mengenai satu perkara yang membawa seribu satu makna kepada orang yang bergelar pelajar membuatkan saya terdetik untuk mengulas tentangnya. Saya menulis dalam ‘mood’ peperiksaan yang melanda warga Darul Quran. Sengaja saya mencoretnya untuk meluahkan apa yang bermain di benak fikiran.

Sesetengah pelajar mungkin fobia apabila mendengar mengenai peperiksaan. Hal ini berkemungkinan berlaku disebabkan tiada persediaan untuk menghadapinya. Namun lain pula yang berlaku kepada sesetengah orang yang mana menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur apa yang ada di dada.

Namun, apa yang menarik minat saya mengenai peperiksaan ialah terjadinya satu gelombang kesedaran kepada orang untuk mengurangkan dosa. Perasaan ini timbul bukanlah atas tujuan yang betul, tetapi hal ini lahir disebabkan risau jika banyak dosa, susah nak jawab periksa dan kesannya keputusan peperiksaan yang diumumkan tidak seperti yang diharapkan. Maka di musim peperiksaan ini saya dapat melihat banyak perubahan mendadak yang berlaku dalam kalangan pelajar.

Mungkin salah satu contoh yang boleh kita ambil ialah orang yang tak pernah sembahyang jemaah di masjid dengan secara tetibanya memunculkan dirinya di masjid dengan beralasankan peperiksaan semakin hampir. Katanya jikalau nak Berjaya mestilah memohon kepada Allah kerana setiap sesuatu itu datang dari Allah. Jikalau disemak semula kamus hidupnya sebelum musim peperiksaan, agak susah untuk melihat dia berada bersama-sama di masjid. Mungkin ini salah satu contoh yang saya biasa lihat berlaku di persekitaran saya.
Apa yang tidak boleh disangkal ialah ramai yang menjadikan peperiksaan sebagai alasan untuk menjadi ‘abid kontrak’. Selepas habis musim peperiksaan, maka mereka akan kembali kepada tabiat asal mereka. Dan pada ketika itu masjid atau surau akan kembali lengang disebabkan peperiksaan sudah berakhir.

Alangkah baiknya jika perubahan yang berlaku yang sebelum ini diniatkan kerana peperiksaan itu diubah kepada niat kerana Allah dan perubahan yang positif berkekalan atau bertambah baik sepanjang hidup kita.
Mari kita sama-sama muhasabah diri

No comments:

Post a Comment