hmmm....

sukar menjadi diri sendiri
diri mudah terikut
tiada asas yang kukuh
perlunya sesuatu
memperkukuh yang lemah

Friday, November 26, 2010

Kecelaruan...

Alhamdulillah ..

Bersyukur ke hadrat Maha Pencipta kerana dengan izinNya masih lagi diberikan nikmat oleh Allah untuk terus hidup di atas muka bumi Allah..(ayat pendahuluan yang biasa digunakan)


Untuk ke sekian kalinya saya mencoret sesuatu di blog saya. Mungkin disebabkan kekurangan idea dan buah fikiran menyebabkan blog ini terus tersadai. Mengakui kelemahan diri yang masih banyak perlu diperbaiki menyebabkan saya berasa bersalah untuk memperkatakan tentang sesuatu perkara.


Saya tidak berhajat ‘membebel’ panjang dengan ayat yang tidak memberi manfaat kepada sesiapa, Cuma saya ingin berkongsi sesuatu untuk tatatpan pengunjung blog yang entah apa-apa ini.


Saya melihat situasi umat Islam hari ini belum cukup kuat untuk mengembalikan Islam ke tempat tertinggi walaupun ada yang mengatakan masa kini merupakan zaman kebangkitan Islam. Saya teringat firman Allah dalam surah Saff. Allah menjelaskan yang Allah suka kepada orang bekerja di jalan Allah dalam keadaan yang tersusun seperti bangunan yang tersusun. Ayat ini menjelaskan kepada kita akan peri pentingnya membuat sesuatu kerja dalam keadaan yang sistematik.
Nabi Muhammad sendiri menekankan kepentingan bekerja dengan sistematik seperti yang disebut dalam hadis, apabila bermusafir hendaklah dilantik ketua. Hal ini sudah memudahkan permusafiran tersebut. Jika semua orang ikut kepala masing-masing, sudah pasti perkara yang tidak diingini akan berlaku. Almarhum Fathi Yakan sendiri turut menekankan kepentingan berada dalam organisasi dalam salah sebuah buku beliau yang menceritakan tentang kepentingan organisasi untuk melancarkan gerak kerja .


Apabila kita melihat suasana hari ini, umat Islam masih lagi lemah daripada sudut gerak kerja. Kita masih tidak mampu untuk menghasilkan sesuatu produk yang dapat meninggikan Islam itu sendiri. Tidak lain dan tidak bukan kerana umat Islam itu sendiri masih lemah. Sepatutnya umat Islam hari ini bersatu menentang kebatilan yang ada di dunia ini. Namun begitu, lain pula yang terjadi , iaitu umat Islam sendiri yang menjadi pendokong kepada kebatilan tersebut.


Situasi masyarakat kini sangat mencelarukan sama seperti apa yang bermain di fikiran . Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita bertindak. Siapa ‘kita’ yang yang hendak bertindak?


Iaitu orang yang yang mengucap dua kalimah syahadah dan mengaku sebagai seorang muslim. Kita tidak boleh sekadar meletakkan tugas ini kepada golongan agama. Kita perlu ingat yang setiap daripada bertanggungjawab kepada saudara Muslim kita.
Mungkin ini sahaja yang dapat saya kongsikan kali ini. Maaflah jika apa yang saya tulis ini tidak menepati citarasa anda kerana artikel ini ditulis dalam keadaan otak yang bercelaru…

Ya Allah, Bantulah hambaMu ini….Amin

No comments:

Post a Comment