hmmm....

sukar menjadi diri sendiri
diri mudah terikut
tiada asas yang kukuh
perlunya sesuatu
memperkukuh yang lemah

Monday, May 16, 2011

guru..



Maaf, mungkin saya sedikit terlambat untuk menulis berkaitan dengan guru kerana tarikhya sedikit terlewat tapi kali ini saya berpegang kepada pepatah inggeris 'better late than never'. Cukup banyak jasa yang telah dibuat oleh para guru yang ada di atas muka bumi ini dan apa yang pasti kedua ibu bapa ialah guru yang terawal dalam hidup.

Jika nak dibandingkan jasa guru, sudah pasti tak dapat dibayar dengan harta benda lebih-lebih lagi ibu bapa. Pengorbanan yang dibuat oleh ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak membuatkan diri kita sangat bertuah dilahirkan di atas muka bumi. Saya sendiri sukar untuk membayangkan bagaimana kesabaran ibu bapa dalam usaha untuk mendidik anak-anak termasuk diri saya yang mempunyai pelbagai karenah dan ragam. Dan apa yang pasti proses itu mungkin juga akan berlaku pada satu hari nanti. Persaoalan masa, siapa, di mana dan sebagainya kita tolak ke tepe dahulu.Hehehe...

Apabila mengenang kembali zaman persekolahan dahulu, saya kira banyak juga perkara yang saya buat menyebabkan guru terasa atau mungkin kurang gemar dengan apa yang saya lakukan. Maklumlah satiap manusia pasti tak lari daripada membuat kesilapan dan yang pasti saya agak nakal satu ketika dahulu dan hari ini proses transformasi diri sedang berlaku.Bermula dari sekolah tadika hinggalah ke sekolah menengah, sudah pasti setiap fasa tersebut mempunyai nilai dan sejarah tersendiri bagi setiap fasa.

Terlibat dengan sambutan Hari Guru juga antara pengalaman saya dalam usaha untuk menghargai jasa guru-guru.Teringat ketika bersama sahabat pimpinan Badan Ketua Pelajar di sekolah satu ketika dahulu, menjadi ajk pelaksana sambutan Hari Guru. Kadang-kadang sanggup tak tidur malam untuk menjayakan Hari Guru dan memastikannya sebagai sambutan yang terbaik. Cukup menyeronokkan walaupun letih apabila apa yang dibuat mebuatkan guru-guru berasa terhibur. Apa yang lebih menarik ialah kami boleh buat duit masa Hari Guru dengan perkhidmatan request hadiah kepada pelajar untuk guru-guru. Beribu juga duit yang masuk. Tapi itu pengalaman yang kini tinggal kenangan yang akan sentiasa kekal di memori. Kalau nak diceritakan apa yang pernah dibuat pasti banyak lagi benda yang hendak ditulis. Mungkin cukup sekadar mencoret satu dalam beribu yang ada.

Namun apa yang penting, kita sentiasa ingat akan guru kita dan sentiasa doakan mereka . Kita kena jaga adab dengan guru kita kerana tanpa mereka belum tentu ilmu akan sampai kepada kita dan menghormati mereka walaupun mereka itu seorang tukang sapu sampah. Ikutilah apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dalam sirah yang mana menghormati seorang Yahudi yang telah mengajarkan baginda satu ilmu. Sentiasa muhasabah diri kita, sejauh mana hubungan kita dengan guru dan beradab dengan guru
kita seperti mana yang telah dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam kitab Adab Hamalatul Quran. Cuba sedaya upaya untuk tunaikan hak sebagai pelajar kepada guru. Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dan kejayaan di dunia da akhirat.

Akhir kalam...
"SELAMAT HARI GURU"

Tuesday, May 3, 2011

wujudkah cinta

Perjalanan ke tanah suci tidak semudah yang disangka. Banyak cabaran dan ujian yang ditempuhi tapi semua itulah yang menjadi perencah dalam perjalanan, kalau tiada cabaran mak tiadalah nikmat sesuatu perkara yang dilalui.

Berada di bumi haramain banyak mengajar diri ini s.ebenarnya.Kadang-kadang rasa macam mimpi bila menjejakkan kaki di tanah suci. Ya la, perkara yang diidamkan sejak dari dulu akhirnya menjadi kenyataan, siapa yang tak gembira.Namun antara perkara yang paling mengujakan ialah dapat berada dekat dengan Nabi Muhammad. Suatu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Namun, saya menyedari satu perkara yang berlaku dalam kalangan jemaah yang berada di bumi Madinah. Apakah perkara tersebut?
kebanyakan daripada jemaah tidak merasai dan menghayati kecintaan mereka terhadap nabi Muhammad bila berada di sana. Ya, saya sendiri turut mengalami perkara yang sama.

Madinah merupakan satu tempat yang cukup mulia yang mana di situlah tertegaknya negara Islam yang pertama. Namun hari ini, orang pergi ke sana hanya sekadar ziarah atau lebih enak untuk dikatakan syurga beli belah tanpa mengambil ibrah daripada sejarah yang pernah berlaku. Madinah memang kaya dengan nilai sejarah Islam, dan kita dapat melihat sendiri bumi yang pernah dicatat dalam sejarah kegemilangan Islam. Salain itu, Madinah juga turut terkenal dengan 'godaan' untuk membeli-belah. Mana tidaknya, keluar saja hotel ada kedai. keluar masjid je ada kedai. tu tak dicampur lagi dengan orang-orang yang berniaga secara 'haram' di sekitar Masjid Nabawi. Ditambah pula dengan pusat beli belah dan nasi arab yang pasti menggiurkan sesiapa sahaja yang berada di sini. Kalau bawak duit seribu tu, memang tak cukup la untuk berbelanja. Itu antara sebahagian godaan yang ada di Bumi Madinah.

Bagi yang bersolat di Masji Nabawi, pastinya berpeluang untuk berada dekat dengan maqam Nabi dan boleh beribadah di Raudah sekiranya berpeluang. Apa yang ingin saya timbulkan ialah, saya tak dapat menghayati apa yang saya lakukan di masjid Nabawi. Sekadar pergi ke masjid untuk bersolat dan seterusnya balik ke hotel @ pergi membeli-belah. Namun, satu hari saya 'disedarkan' oleh seorang jemaah umrah ketika sedang makan. Dia mempersoalkan situasi yang berlaku kepada orang yang berada dekat maqam Nabi tapi tak pernah pun menangis.
Ya, itu memang situasi yang berlaku sedangkan apabila kita menziarahi kubur orang yang kita sayang, sudah pasti kita akan menangis, apatah lagi Nabi Muhammad. Sepatutnya kita lebih lagi. Itu antara perkara yang beliau persoalkan. Saya mula tersentak kerana perkara tersebut berlaku kepada saya.
Ya, semua itu memakan masa melahirkan rasa cinta kepada nabi.Alhamdulillah, saya dapat disedarkan daripada terus terlalai dengan godaan yang ada di Madinah. Walau di mana kita berada, ujian tetap ada cuma berbeza.Tapi, macam mana nak wujudkan cinta tersebut?

Sama-sama kita cari

Monday, April 25, 2011

Sebelum Ke Tanah Suci..

Alhamdulillah masih diizinkan oleh Maha Pencipta untuk terus menghirup udara segar yang diberikan tanpa sebarang bayaran. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w kerana atas jasa baginda yang memberikan diri ini terus berada dalam nikmat Islam.

Sudah lama tidak menulis terasa sedikit kaku untuk meneruskan tulisan kali ini. Mujurlah ada adik-beradik usrah yang prihatin memaksa saya untuk meng’update’ blog yang lama terbengkalai sejak habis peperiksaan pada bulan 3. Saya berasa terpanggil untuk berkongsi cerita saat-saat bahagi terpilih menjadi tetamu Allah.

Perjalanan menuju ke Jeddah pada 18 Mac 2011 menaiki Pesawat Garuda Indonesia. Hari untuk berangkat semakin dekat tetapi saya masih tidak memunculkan diri di rumah untuk membuat persiapan sebelum berangkat. Akhirnya dua hari sebelum berangkat, saya muncul di rumah namun sayangnya tiada seorang pun yang menyambut. Padan muka diri sendiri kena tinggal kat rumah seorang diri. Masa yang berbaki di rumah digunakan sebaiknya untuk membuat persediaan sebelum berangkat.

Masa yang ditunggu telah tiba. Pada 18 Mac saya bertolak ke KLIA pada jam 3 pagi. Sahabat- sahabat yang lain sudah ramai yang tiba lebih awal. Walaupun penerbangan dijadualkan pada jam 7 pagi, tetapi gagahka diri juga untuk bersedia lebih awal. Maklum la, kali pertama naik ‘flight’. Pada masa itu la saya berbangga menjadi rakyat Malaysia disebabkan kecanggihan dan pengurusan KLIA yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia dan hari ini saya sendiri merasainya. Selesai semua urusan, kami dibenarkan untuk menaiki pesawat. Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur ke Jakarta yang mengambil masa kira-kira sejam setengah. Kami perlu transit di Jakarta dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta. Apa yang kurang enak apabila menaiki pesawat ialah melihat pramugarinya yang saya kira pakaiannya kurang cantik dipandang lebih-lebih lagi buat orang yang ingin mengerjakan ibadah di tanah suci. Namun saya nampak itu sebagai satu peluang dakwah untuk diterokai sebenarnya. Diberikan makanan dan disediakan alat hiburan di dalam pesawat menyebabkan perjalanan yang dilalui dirasakan berlalu dengan sekejap.

Seterusnya, kami tiba di Jakarta untuk tukar pesawat ke Jeddah. Suasana di sini cukup berbeza dengan KLIA yang mana KLIA boleh dikatakan lebih canggih. Betul apa yang dikatakan sesetengah orang, penantian satu penyeksaan. Kami terpaksa menunggu di Jakarta beberapa jam untuk menaiki pesawat seterusnya. Setelah lama menunggu, orang yang menaiki pesawat yang sama dengan kami semakin ramai tiba. Kebanyak mereka memakai baju batik mengikut ‘team’ masing-masing. Rupa-rupanya kami pergi Jeddah sekali dengan bapak-bapak dan ibu-ibu dari Indonesia. Mereka memakai baju yang seragam mengikut travel yang mereka pilih. Agak sesak keadaan di ruang menunggu dengan jemaah dari Indonesia. Perjalan kami diuji apabila kakitangan di situ memberitahu yang penerbangan akan lewat sedikit kerana ada masalah. Belum lagi sampai di tanah suci tetapi Allah tetap menguji hambanya. Setelah lama menunggu, akhirnya kami dibenarkan untuk menaiki pesawat yang lebih besar berbanding yang pertama tadi.

Friday, February 25, 2011

Periksa Oh Periksa

Berbicara mengenai satu perkara yang membawa seribu satu makna kepada orang yang bergelar pelajar membuatkan saya terdetik untuk mengulas tentangnya. Saya menulis dalam ‘mood’ peperiksaan yang melanda warga Darul Quran. Sengaja saya mencoretnya untuk meluahkan apa yang bermain di benak fikiran.

Sesetengah pelajar mungkin fobia apabila mendengar mengenai peperiksaan. Hal ini berkemungkinan berlaku disebabkan tiada persediaan untuk menghadapinya. Namun lain pula yang berlaku kepada sesetengah orang yang mana menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur apa yang ada di dada.

Namun, apa yang menarik minat saya mengenai peperiksaan ialah terjadinya satu gelombang kesedaran kepada orang untuk mengurangkan dosa. Perasaan ini timbul bukanlah atas tujuan yang betul, tetapi hal ini lahir disebabkan risau jika banyak dosa, susah nak jawab periksa dan kesannya keputusan peperiksaan yang diumumkan tidak seperti yang diharapkan. Maka di musim peperiksaan ini saya dapat melihat banyak perubahan mendadak yang berlaku dalam kalangan pelajar.

Mungkin salah satu contoh yang boleh kita ambil ialah orang yang tak pernah sembahyang jemaah di masjid dengan secara tetibanya memunculkan dirinya di masjid dengan beralasankan peperiksaan semakin hampir. Katanya jikalau nak Berjaya mestilah memohon kepada Allah kerana setiap sesuatu itu datang dari Allah. Jikalau disemak semula kamus hidupnya sebelum musim peperiksaan, agak susah untuk melihat dia berada bersama-sama di masjid. Mungkin ini salah satu contoh yang saya biasa lihat berlaku di persekitaran saya.
Apa yang tidak boleh disangkal ialah ramai yang menjadikan peperiksaan sebagai alasan untuk menjadi ‘abid kontrak’. Selepas habis musim peperiksaan, maka mereka akan kembali kepada tabiat asal mereka. Dan pada ketika itu masjid atau surau akan kembali lengang disebabkan peperiksaan sudah berakhir.

Alangkah baiknya jika perubahan yang berlaku yang sebelum ini diniatkan kerana peperiksaan itu diubah kepada niat kerana Allah dan perubahan yang positif berkekalan atau bertambah baik sepanjang hidup kita.
Mari kita sama-sama muhasabah diri

Wednesday, February 9, 2011

Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya
Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup,
melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

hidup sebelum mati
setiap orang pasti merasai
'menngenang kembali kekasih Allah'
Salam Maulidur Rasul

Tuesday, February 1, 2011

membaca

tajuk yang mudah...
dan itulah tujuan saya menulis iaitu untuk dibaca oleh orang lain (itu pun kalau ada yang sudi)

membaca telah menjadi satu budaya yang kurang popular pada masa kini. Walaupun kajian mendapati ada peningkatan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia setahun dua ini, namun ia masih rendah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju yang ada di dunia ini.

Umum mengetahui tentang ayat Al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad. Ayat pertama Surah Al-Alaq ini memerintahkan kita untuk membaca. Mengapa kita perlu membaca? Ketahuilah bahawa membaca ini salah satu daripada kunci ilmu. Sebagai umat Islam, sepatutnya kitalah yang menyahut seruan Allah kepada hambanya untuk membaca. Namun hari ini apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang bukan Islam terkehadapan dalam menyahut seruan ini.

Mahasiswa sendiri tidak terlepas dalam menghadapi masalah ini. Kebanyakan mahasiswa hanya menumpukan penmbacaan hanya kepada subjek yang diambil untuk peperiksaan sahaja. Maka pada hari ini kita dapat melihat situasi yang mana mahasiswa hanya menumpukan pada akademik tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekitar mereka.
Jika kita melihat sejarah ketamadunan Islam, Umat Islam dihormati kerana ilmu yang mereka ada. Keika itu ilmu berkembang pesat dan ramai ulama yang telah berjaya dilahirkan. Hal ini menunjukkan satu ketika dahulu umat Islam mempunyai kesedaran yang cukup tinggi untuk menguasai ilmu. Imam Syafie sendiri sebelum hendak berguru, bukan sahaja telah membaca kitab A-Muwatta' bahkan telah menghafalnya sebelum berguru dengan Imam Malik.

Umat Islam masa kini ketandusan orang yang dapat kembali memartabatkan Islam. Kita kekurangan orang. Tidak cukup dengan semangat ketika demonstrasi tetapi lemah dalam pembudayaan ilmu melalui pembacaan itu sendiri.Kita perlu berubah untuk membuat satu anjakan baru untuk umat Islam. Teringat kata-kata Dr Aidh Al-Qarni penulis buku La Tahzan yang juga merupakan seorang ulama. Beliau mengatakan apbila membaca, sejarah-sejarah dilipat dan terbentang di hadapan beliau. Seolah-olah dapat menyaksikan sendiri sejarah itu berlaku di depan mata.
Hal ini telah menunjukkan kesan yang kita akan dapat apabila membaca itu dijadikan amlan.

Kita perlu berubah ...
Pesanan buat diri sendiri..
Suasana tidak membentuk kita, tetapi kita membentuk suasana..

Friday, January 28, 2011

Luahkan pada tempatnya

“Apa sangat kerja kau, aku tengok kau rileks je”

“Kau tahu bagi arahan je, bukan kau yang buat”

Ini mungkin sebahagian daripada apa yang pernah diluahkan dalam hati para amilin kepada pimpinan mereka. Menjadi orang bawahan bukanlah sesuatu yang mudah. Saya juga orang yang bekerja di bawah pimpinan. Apabila kita bekerja di dalam satu organisasi, banyak yang perlu kita pelajari sebenarnya walaupun sebagai orang bawahan.

Saya teringat kepada kepada satu diskusi yang pernah diadakan mengenai cara menegur pimpinan. Salah atu perkara yang dibincangkan ialah ‘bughah’ atau pemberontakan. Luahan hati, merupakan salah satu daripada salah satu pemberontakan diri. Namun di peringkat yang lebih tinggi, pemberontakan dilakukan dengan lebih sistematik dan terancang.

Melihat kepada sejarah kejatuhan khilafah Islamiyah, pemberontakan merupakan salah satu sebab yang utama. Hasil pengaruh pihak orientalis, mereka cuba meracuni pemikiran umat Islam untuk memberontak terhadap khalifah. Akhirnya kita melihat umat Islam dibahagikan mengikut Negara-negara dan ianya melahirkan semangat nasionalisme melebihi semangat Islam itu sendiri.

Kebanyakan dalam kalangan kita, masih kurang adab ketika berada dalam organisasi. Ya, kita semua berniat baik untuk memperbaiki organisasi tetapi cara yang kita gunakan sering tersasar. Disebabkan itu diri kita perlu belajar. Jangan kita merasakan diri kita terlalu sempurna untuk tidak mahu ditegur.

{Kita tetap insan biasa walau apa jawatan kita}

Monday, December 20, 2010

Diri....

Diri kita sering memperbetulkan orang lain. Apa yang orang lain buat dirasakan serba kekurangan. padahal jika diri kita lakukan belum tentu sempurna pada pandangan orang.

Sedar atau tidak, diri kita tersalah dalam menilai. Sepatutnya kita menilai diri sendiri sebelum menilai orang. Saya tidak bermaksud untuk menunggu kesempurnaan baru kita boleh menilai orang lain. Kita perlu adil dalam menilai diri dan orang lain.


'Renungan bersama'

Friday, November 26, 2010

Kecelaruan...

Alhamdulillah ..

Bersyukur ke hadrat Maha Pencipta kerana dengan izinNya masih lagi diberikan nikmat oleh Allah untuk terus hidup di atas muka bumi Allah..(ayat pendahuluan yang biasa digunakan)


Untuk ke sekian kalinya saya mencoret sesuatu di blog saya. Mungkin disebabkan kekurangan idea dan buah fikiran menyebabkan blog ini terus tersadai. Mengakui kelemahan diri yang masih banyak perlu diperbaiki menyebabkan saya berasa bersalah untuk memperkatakan tentang sesuatu perkara.


Saya tidak berhajat ‘membebel’ panjang dengan ayat yang tidak memberi manfaat kepada sesiapa, Cuma saya ingin berkongsi sesuatu untuk tatatpan pengunjung blog yang entah apa-apa ini.


Saya melihat situasi umat Islam hari ini belum cukup kuat untuk mengembalikan Islam ke tempat tertinggi walaupun ada yang mengatakan masa kini merupakan zaman kebangkitan Islam. Saya teringat firman Allah dalam surah Saff. Allah menjelaskan yang Allah suka kepada orang bekerja di jalan Allah dalam keadaan yang tersusun seperti bangunan yang tersusun. Ayat ini menjelaskan kepada kita akan peri pentingnya membuat sesuatu kerja dalam keadaan yang sistematik.
Nabi Muhammad sendiri menekankan kepentingan bekerja dengan sistematik seperti yang disebut dalam hadis, apabila bermusafir hendaklah dilantik ketua. Hal ini sudah memudahkan permusafiran tersebut. Jika semua orang ikut kepala masing-masing, sudah pasti perkara yang tidak diingini akan berlaku. Almarhum Fathi Yakan sendiri turut menekankan kepentingan berada dalam organisasi dalam salah sebuah buku beliau yang menceritakan tentang kepentingan organisasi untuk melancarkan gerak kerja .


Apabila kita melihat suasana hari ini, umat Islam masih lagi lemah daripada sudut gerak kerja. Kita masih tidak mampu untuk menghasilkan sesuatu produk yang dapat meninggikan Islam itu sendiri. Tidak lain dan tidak bukan kerana umat Islam itu sendiri masih lemah. Sepatutnya umat Islam hari ini bersatu menentang kebatilan yang ada di dunia ini. Namun begitu, lain pula yang terjadi , iaitu umat Islam sendiri yang menjadi pendokong kepada kebatilan tersebut.


Situasi masyarakat kini sangat mencelarukan sama seperti apa yang bermain di fikiran . Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita bertindak. Siapa ‘kita’ yang yang hendak bertindak?


Iaitu orang yang yang mengucap dua kalimah syahadah dan mengaku sebagai seorang muslim. Kita tidak boleh sekadar meletakkan tugas ini kepada golongan agama. Kita perlu ingat yang setiap daripada bertanggungjawab kepada saudara Muslim kita.
Mungkin ini sahaja yang dapat saya kongsikan kali ini. Maaflah jika apa yang saya tulis ini tidak menepati citarasa anda kerana artikel ini ditulis dalam keadaan otak yang bercelaru…

Ya Allah, Bantulah hambaMu ini….Amin

Monday, October 11, 2010

kunjungan...1

Alhamdulillah, dapat lagi saya bersama sahabat-sahabat lama berkunjung ke bumi tarbiyah SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang. Kesempatan cuti semmester digunakan sebaiknya untuk turun ke sekolah tercinta. Berbekalkan niat asal untuk mengambil sijil SPM yang sudah lama tersimpan di pejabat sekolah. Tanggal 8 Oktober 2010 bersamaan hari terakhir di bulan Syawal, langkah saya ke sana cukup bertuah. Bersama sahabat saya Ashraf Misran kami memulakan perjalanan ke sekolah.

Sampai sahaja di sekolah, cadangnya nak jumpa Cik JO (pekerja pejabat), nak terus ambil sijil SPM tetapi kami cukup bertuah apabila hari berkenaan para guru membuat jamuan Aidilfitri di pejabat sekolah. Dengan segan silunya kami mengambil makanan yang disediakan setelah dijemput oleh beberapa orang guru dan kakitangan. Antara nikamat yang paling saya hargai bila berkunjung di sekolah bukanlah makanannya tetapi peluang bersua muka dengan para murabbi yang telah mendidik saya sepanjang saya berada di sana.

Perjumpaan dengan para guru membuatkan saya merasa cukup terharu yang tidak dapat digambarkan. Sebab tu tidak ada gambar yang saya ambil bersama guru kerana ianya tidak dapat digambarkan.(sekadar alasan)

Saya mengharapkan doa para guru untuk terus berjaya dalam hidup...Amin
Bersama sahabat yang turut sama dalam kunjungan ..